Amat malang bagi satu pasangan suami isteri kerana kedua-duanya putus kaki kanan selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh kereta yang terbabas akibat tayar depan pecah di Jalan Tengku Mizan berhampiran satu stesen minyak dekat Bukit Tunggal di sini, semalam.
    Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, Mohd Isa Mohd Shariff, 43, bersama isterinya, Sharifah Shalwani Syed A Rahim, 35, dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Batu Enam.
    Pada masa sama, pemandu sebuah kereta Honda Civic berusia 24 tahun dikatakan dalam perjalanan dari pusat bandar raya menghala Bukit Tunggal, di sini.
    Menurut sumber, setiba di tempat kejadian, lelaki itu gagal mengawal keretanya selepas tayar depan pecah menyebabkan kenderaannya merempuh motosikal Yamaha LC ditunggang pasangan berkenaan.
    Katanya, kejadian itu menyebabkan pasangan itu putus kaki kanan dan mereka dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.
    Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.


    Suami Dan Isteri Ditemui Maut Di Atas Katil |  Sepasang suami isteri warga emas ditemui maut di atas katil dipercayai terkena serangan jantung dalam kejadian, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pasangan itu ditemui oleh anaknya dalam salah sebuah bilik di rumah dua tingkat di Jalan Kuala Kangsar di sini.

    Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Foong Weng Hing, 81 dan isterinya, Yeoh Beng Lan, 72, dipercayai meninggal dunia lebih dua hari ditemui kira-kira jam 12.18 tengah hari.

    "Siasatan awal mendapati kedua-dua mayat berada di atas katil dalam bilik di rumah dua tingkat berkenaan.

    "Pemeriksaan mendapati tiada kesan pecah rumah, pergelutan atau unsur-unsur jenayah berlaku di kediaman itu," katanya.

    Chang Keong berkata, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

    "Laporan bedah siasat mendapati kedua-dua mereka maut akibat serangan jantung.
    "Polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut," katanya.


    Mayat Dahlia Basir Dijumpai Duduk Di Atas Kerusi Panjang Di Bahagian Dapur Rumahnya | Bau busuk yang dihidu seorang wanita membawa kepada penemuan mayat anak saudaranya di rumah mangsa di Taman Sentosa, di sini, malam ini. Hasnah Donan, 68, berkata ketika terhidu bau busuk dari arah rumah anak saudaranya,

    Dahlia Basir, 44, kira-kira jam 6 petang, dia sudah berasa tidak sedap hati terutama selepas ternampak langau berterbangan di tingkap rumah mangsa. Selepas beberapa kali memanggil anak saudaranya itu tetapi tiada jawapan,

    Hasnah menghubungi polis yang kemudian memecahkan pintu dapur rumah jirannya itu kira-kira jam 8 malam. "Sebaik polis memecah masuk, mereka nampak mayat anak saudara mak cik dalam keadaan duduk di atas kerusi panjang di ruang dapur rumah.

    "Memang setiap dua atau tiga hari mak cik akan melawat Dahlia yang tinggal berseorangan selepas ibunya meninggal dunia enam tahun lalu,"katanya.

    Hasnah berkata, Dahlia memang menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis serta terpaksa makan ubat setiap hari. "

    Arwah masih belum berkahwin dan dia menyara hidup dengan mengambil upah membantu seorang jiran menjual nasi lemak dan kuih-muih di gerai berhampiran," katanya. Hasnah berkata, kali terakhir beliau berjumpa Dahlia pada hari Khamis lalu dan tiada sebarang perubahan ketara yang dilihat pada diri wanita itu selain sedang demam dan kurang bercakap. Mayat Dahlia sudah dihantar ke Hospital Tengku 

    Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk proses bedah siasat.


    Polis Rampas ganja RM22,000|  Polis menahan tiga individu serta merampas lebih 11 kilogram ganja bernilai RM22,000 dalam serbuan di pangsapuri di Taman Seri Mewah di sini, 22 Ogos lalu.
    Dalam serbuan 10.30 malam itu, sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menemui bungkusan ganja terbabit di dalam bagasi disorok di bawah katil.
    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, suspek utama berusia 39 tahun didapati lumpuh separuh badan aktif mengedar dadah sejak dua tahun lalu.
    Menurutnya, berdasarkan maklumat semua bekalan dadah diperoleh dari Bangsar, Kuala Lumpur untuk dipasarkan di Kajang.
    "Suspek ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang media di sini, hari ini.


    Google Memadamkan Palestin Dari Google Maps|Semalam berita tersebar bahawa Google telah memadamkan Palestin dari Google Maps. Status media sosial yang kami temui secara majoriti mengutuk tindakan Google yang dikatakan pro-Israel dan cuba memadamkan kewujudan negara Palestin yang dijajah rejim Zionis sejak 1948. Terdapat juga pengguna yang mencadangkan supaya Google diboikot akibat tindakan mereka ini. Tetapi sejauh manakah kebenaran berita viral ini? Adakah benar Google Maps dipadam kerana agenda jahat Zionis untuk menidakkan hak warga Palestin?

    Google Maps sudah beroperasi sejak Februari 2005 dan sejak beroperasi tidak pernahmemaparkan perkataan Palestin di atas peta mereka. Sebaliknya sempadan negara Palestin ditandakan dengan garis putus-putus seperti yang dilihat sekarang. Walau bagaimanapun pihak Google apabila dihubungi oleh kami mengesahkan terdapat pepijat yang membuatkan label untukSemenanjung Gaza (Gaza Strip) dan Tebing Barat (West Bank) hilang dari paparan. Google sedang berusaha untuk mengembalikan dua label yang hilang ini secepat mungkin.
    Jadi apakah sebab yang diberikan untuk tidak meletakkan Palestin pada peta? Jawapannya senang tetapi tidak mudah. Untuk melayakkan nama negara dipaparkan di Google Maps, ia harus diiktiraf oleh Persatuan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebuah negara.
    Palestin setakat ini hanya diiktiraf sebagai negara pemerhati bukan ahli di PBB sejak 29 November 2012. Ini ialah langkah pertama untuk mengiktirafnya sebagai sebuah negara. Setakat ini 136 dari193 negara ahli PBB mengiktiraf kewujudan negara Palestin. Pada 31 Disember 2014, Majlis Keselamatan PBB menolak resolusi penubuhan negara Palestin dan menggesa Israel untuk menghentikan penjajahan menjelang 2017. Lapan negara menyokong resolusi ini dengan dua menolak dan lima lagi berkecuali. Resolusi ditolak kerana tidak mendapat sekurang-kurangnya undian untuk meluluskannya. Negara yang mengundi untuk menyokong resolusi ialah China, Perancis, Rusia, Argentina, Chad, Chile, Jordan dan Luxembourg. Amerika Syarikat dan Australia menolak  sementara Britain, Lithuania, Nigeria, Korea Selatan, dan Rwanda memilih untuk berkecuali.

    Oleh sebab inilah Palestin masih belum diiktiraf sepenuhnya sebagai sebuah negara dan menjadi ahli penuh PBB. Selagi ini tidak diselesaikan, selagi itulah Palestin tidak akan wujud di dalam Google Maps. Tetapi pada waktu yang sama sejak Mei 2013, Google mula mengiktiraf kewujudan Palestindengan menukar perkataan “Wilayah Palestin” kepada “Palestin” pada laman utama Google.ps.
    Palestin bukan satu-satunya negara yang tidak muncul di dalan Google Maps. Abkhazia, Republik Turki Cyprus Utara dan Somaliland ialah tiga contoh negara yang turut menerima nasib yang sama.

    Tetapi ini tidak bermakna Google Maps konsisten dalam melabel negara-negara di atas petanya. Contoh terbaik ialah Taiwan dan Kosovo. Kedua-duanya bukan negara ahli PBB. Keahlian Taiwan diveto oleh China yang merupakan ahli tetap Majlis Keselamatan PBB. Keahlian Kosovo yang mengumumkan kemerdekaan pada tahun 2008 pula ditentang oleh Serbia yang mendapat sokongan kuat Russia yang turut merupakan ahli Majlis Keselamatan PBB. Tetapi cuba anda lakukan carian terhadap Kosovo dan Taiwan sekarang. Jelas dan terang nama kedua-dua negara ini terpapar di Google Maps. Di dalam hal ini pihak Google Maps adalah tidak konsisten dengan alasan yang diberikan terhadap Palestin.

    Apakah yang boleh dilakukan oleh mereka yang mahu Palestin dipaparkan pada laman pemetaan nombor satu dunia ini? Buat masa ini hanya petisyen Change.org sahaja jalan yang boleh dilakukan. Mungkin dengan sambutan yang kuat dari komuniti dunia, Google Maps akan memberikan pelepasan untuk Palestin seperti yang diberikan kepada Kosovo dan Taiwan. Buat masa ini Palestin hanya boleh ditemui di satu tempat sahaja di Google Map dan ia adalah sebuah bandar di Texas, Amerika Syarikat.


    Kementerian Pendidikan Akan Menjalankan Siasatan Dalaman Berhubung Kes Guru Didakwa Mencabul Dan Merogol Murid Di Terengganu Dan Sabah Baru-Baru Ini|Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kes itu turut diserahkan kepada polis siasatan.

    "Saya amat kecewa dengan berita seumpama ini bagaimana guru boleh (didakwa) dalam kes seumpama ini ...kes ini sudah jadi kes polis.
    "Cuma kita di peringkat jabatan dan kementerian akan buat siasatan dalaman yang boleh menentukan tindakan boleh diambil kepada penama sekiranya kes itu terbukti," katanya di sini, hari ini.
    Baru-baru ini, seorang guru berusia 50 tahun ditahan di Besut, Terengganu, kerana didakwa mencabul tiga muridnya manakala seorang guru disiplin berusia 53 tahun di Telupid, Sabah turut ditahan atas dakwaan menodai tiga anak muridnya yang berusia antara 9 dan 10 tahun.


    Gelagat penguna  Bermain Pokemon GO  Mengunakan Telefon Pintar Di Sekitar Pusat Menbeli Belah|“Tiba-tiba ada orang tidak dikenali muncul di depan rumah saya, amat terkejut namun setelah diberitahu rupa-rupanya ada 'Pokemon' di atas bumbung!"

    Itu luahan pekerja swasta, Lum Choi Yan, 24, yang terkejut melihat seorang lelaki tidak dikenali berdiri di depan rumahnya sambil menghala telefon bimbit ke atas bumbung rumahnya, pagi tadi.
    Lum berkata beliau hampir membuat laporan polis kerana gelagat lelaki itu sangat mencurigakan.
    "Apabila saya bertanya, katanya ada seekor 'Pokemon' terbang ke bumbung dari taman permainan berhampiran rumah saya dan dia mengejarnya," katanya.
    Beliau berkata, walaupun baru dilancarkan semalam, fenomena permainan Pokemon GO dilihat sudah membuatkan ramai 'terjebak' dan jika tidak berhati-hati dikhuatiri boleh membahayakan keselamatan.
    "Saya sendiri tidak berani untuk memuat turun aplikasi ini kerana rakan-rakan terlalu ketagih dengan permainan itu sehingga tidak menghiraukan keadaan sekeliling termasuk ketika melintas jalan," katanya.
    Mahasiswa universiti awam, Lily Ferawati Rofil, 27, berkata gelagat pemain Pokemon GO boleh dilihat di mana-mana sahaja terutama di kawasan tumpuan ramai.
    "Saya muat turun aplikasi itu dan mendapati kebanyakan tempat yang menjadi 'sasaran' pemain memburu 'pokemon' ialah rumah ibadah, seperti masjid dan tokong, di depan bangunan tinggi atau kawasan tersorok.
    "Contoh, kawasan tersorok seperti papan tanda yang rosak ataupun di belakang tandas awam tiba-tiba dikerumuni orang ramai disebabkan permainan ini," katanya.
    Jurutera Awam Tieu Chect Hou, 28, berkata beliau hampir terlanggar seorang remaja perempuan yang terlalu 'taksub' memburu pokemon ketika makan tengah hari di sebuah restoran di Pudu.
    "Saya tengok dia jalan ke hulu ke hilir sambil memegang telefon bimbit dan senyum seorang diri tanpa menghiraukan orang di sekeliling, sehingga melanggar orang pun tidak tahu untuk meminta maaf.
    "Apabila melihat dari belakang, barulah tahu beliau sedang bermain Pokemon GO.
    Melihat keadaan ini, saya tidak berani memuat turun aplikasi itu kerana semua orang bagaikan sudah 'gila' terjebak dengan permainan itu," katanya.


    Larang Tanam Pokok Ketum Secara Komersial|Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang penanaman pokok ketum secara komersial di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini.


    Beliau berkata ia turut disokong oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendapati daun ketum lebih banyak memberi kesan buruk kepada kesihatan berbanding kebaikan.
    “Buat masa ini kerajaan putuskan tidak izinkan (pokok ketum) ditanam secara komersial, diedarkan dan digunakan kerana keburukannya lebih banyak.
    “Kita telah dapat input secara saintifik, daun ketum ini ada unsur-unsur kebaikan tapi lebih banyak unsur-unsur tidak baik jika digunakan iaitu boleh menyebabkan ketagihan dan menimbulkan penyakit tertentu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Media Prima, di sini hari ini.
    Beliau berkata kerajaan bagaimanapun tidak menghalang penggunaan daun ketum untuk kajian perubatan secara saintifik.
    Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sebelum ini dilaporkan bercadang ingin mendapatkan kebenaran kerajaan untuk melaksanakan projek penanaman pokok ketum secara berskala besar bagi memenuhi industri farmaseutikal dari negara luar, yang usaha itu juga boleh mendatangkan keuntungan tinggi kepada pekebun kecil.
    Sementara itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan bertegas akan mengambil tindakan kepada pihak yang ingkar dengan arahan larangan menanam pokok ketum untuk tujuan komersial.
    Beliau berkata mereka yang berkenaan boleh diambil tindakan di bawah Akta Racun 1952 di bawah KKM. 


    Penumpang Rayani Air BENGANG Nyaris Tidak Pulang Berhari Raya|Beberapa keluarga dan pelanggan Rayani Air nyaris tidak pulang berhari raya akibat pembatalan penerbangan melibatkan tiket bernilai sehingga ribuan ringgit.

    Ia merupakan dugaan besar buat salah seorang penumpang yang buat pertama kali berpeluang untuk berhari raya di kampung halaman selepas tidak dapat melakukannya sejak tiga tahun lalu.

    Dengan kerinduan yang amat sangat terhadap keluarganya di Pulau Gaya, dekat Kota Kinabalu, suri rumah, Anrada Dimulu, 38, merancang untuk pulang bersama suami dan tiga anaknya.

    Anrada atau Ann berkata, dia dan suaminya terpaksa mencari alternatif lain dengan membeli tiket penerbangan baharu.

    Seorang lagi penumpang Rayani Air terpaksa melupakan hasrat untuk membuat persiapan Aidilfitri selepas membeli tiket penerbangan  alternatif dari Kuala Lumpur ke Kuching.

    Hanya mahu dikenali sebagai Jaafar, 46, hari raya kali ini cukup bermakna kerana anaknya yang baharu lahir buat pertama kali akan bertemu neneknya.

    Menurut Jaafar yang bertugas dalan bidang perhotelan, dia terpaksa memotong perbelanjaan lain akibat pembelian tiket baharu.

    Jaafar mendakwa, Rayani Air telah mengeluarkan cek bertarikh 30 Jun sebagai bayaran balik tambang tetapi malangnya ia merupakan cek tendang selepas dideposit ke dalam akaun bank.


    Susulan Kes Letupan Di Pub|"Ketika kejadian, saya duduk meja luar bersama dua lagi rakan sambil menghadap jalan sebelum dikejutkan dengan satu letupan," kata seorang mangsa dikenali sebagai Ch'ng.

    Menurutnya, keadaan menjadi kecoh apabila ramai pengunjung lari cuba menyelamatkan diri.
    "Seorang pengunjung lelaki di sebelah meja kami duduk terbaring dalam keadaan berlumuran darah.
    "Saya hanya perasan satu objek berwarna gelap dilontar ke luar premis sebelum mengeluarkan asap lalu meletup namun, tidak nampak siapa yang membalingnya," katanya ketika ditemui di Hospital Serdang.
    Menurutnya, akibat kejadian itu dia mengalami luka di bahagian mata, pinggul, lengan kanan dan kaki.
    "Bahagian pinggul saya turut tercucuk dua serpihan mungkin kaca atau besi yang bersepai akibat terkena bom. Satu pembedahan juga akan dilakukan bagi mengeluarkan serpihan itu nanti," katanya.
    Sementara itu, dua lagi mangsa iaitu pasangan suami isteri yang cedera dalam kejadian itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil.


    Polis Mengesahkan Bom Tangan Digunakan Dalam Letupan Di Pub| Polis mengesahkan bom tangan digunakan dalam letupan di pub, di sini, awal pagi ini.

    Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata bom tangan itu dipercayai dibaling individu di depan pub berkenaan menyebabkan lapan cedera termasuk seorang parah.
    "Kami (polis) akan menyiasat segala kemungkinan sama ada persaingan perniagaan, dendam mahupun individu tertentu yang berniat melakukan perbuatan itu," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
    Katanya, mereka yang cedera terdiri empat lelaki dan empat wanita yang kini dirawat di Hospital Serdang dan pusat perubatan swasta.
    Difahamkan, ketika kejadian, pada 2.50 pagi, pub itu dikunjungi orang ramai yang sedang menyaksikan perlawanan pusingan kalah mati 16 pasukan Euro 2016.


    'Dark Web' Elak Dikesan Pihak Berkuasa:Pedofil| Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bekerjasama dengan CyberSecurity Malaysia bagi mengesan aktiviti jenayah terancang seperti pedofil di negara ini.

    Pengarah Institut Jenayah dan Kriminologi Universiti HELP, Datuk Akhbar Satar berkata mereka yang terbabit dalam aktiviti pedofilia ini menggunakan platform internet iaitu 'dark web', yang merupakan jaringan sejagat (wwww) dengan jaringan tindihan menggunakan internet awam menerusi perisian tertentu bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa. 

    "Segala aktiviti seperti gambar dan video mangsa pedofil dimasukkan ke dalam 'dark web' dan banyak lagi aktiviti yang menyalahi undang-undang dibuat menerusi talian itu.

    "Oleh itu, kaedah penyiasatan tradisional seperti soal siasat secara bersemuka tidak lagi berkesan dalam era globalisasi ini," katanya kepada Bernama selepas program Ruang Bicara Bernama News Channel yang bertajuk "Pedofil: Awasi Anak Anda" yang dihoskan Sherkawi Jirim di sini, semalam.‎

    Selain itu, Akhbar mencadangkan pihak berkuasa menggunakan khidmat penggodam profesional di Malaysia untuk mengenal pasti penjenayah itu.

    "Malaysia mempunyai banyak penggodam beretika dan tidak salah jika agensi penguat kuasa mendapatkan khidmat mereka untuk selesaikan isu ini," katanya.

    Pada 5 Jun lepas, Richard Huckle, seorang warganegara Britain, dikenakan hukuman penjara seumur hidup sebuah mahkamah di London selepas didapati bersalah terhadap 71 pertuduhan berkaitan penderaan seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia.

    Media Britain melaporkan Huckle, 30, dijatuhi 22 hukuman penjara seumur hidup dan akan meringkuk dalam penjara sekurang-kurangnya 23 tahun atas jenayah yang dilakukannya terhadap mangsa yang berasal dari keluarga miskin berusia enam bulan hingga 11 tahun.

    Huckle mengaku bersalah terhadap 71 kesalahan dan polis menemukan lebih 20,000 imej lucah kanak-kanak di dalam komputer dan kameranya ketika dia ditangkap di Lapangan Terbang Gatwick, London pada 2014.

    Baru-baru ini, media Britain melaporkan Huckle, seorang jurufoto bebas, mungkin melakukan penderaan seksual melibatkan 200 kanak-kanak berusia enam bulan hingga 12 tahun dari 2006 hingga 2014.

    Sebanyak 91 pertuduhan dikenakan terhadapnya dan kebanyakan mangsa adalah daripada golongan miskin di Kuala Lumpur.


    “Mek Ni sSakit, Luka Ni Pedih, Rasa Pelik Takdok Kaki,”| luah warga emas, Mek Som Mat Diah, 89, yang kaki kirinya terpaksa dipotong sehingga paras betis selepas bahagian yang terputus tidak boleh disambung semula kerana risiko jangkitan kuman.

    Kisah gempar Mek Som itu menarik perhatian netizen apabila pada usia tuanya terpaksa menahan kesakitan selepas kaki kirinya ditetak seorang remaja lelakidalam kejadian samun di rumahnya, di Kampung Tanjung Rendang, Lemal, Pasir Mas.

    Wanita warga emas itu kemudiannya menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dan selamat menjalani pembedahan kira-kira dua jam bermula 9.30 malam kelmarin bagi merawat kaki yang terputus itu.

    Terdahulu, Mek Som menerima kunjungan Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad, hadir bersama wakil lain di Wad Ortopedik HUSM, semalam.

    Dalam lawatan tersebut, Sheikh Ahmad Dusuki berkata, satu penyelesaian jangka panjang perlu dilaksanakan supaya bilangan penagih dadah berkurangan dalam memastikan masyarakat selamat daripada ancaman jenayah.

    “Apa yang berlaku kepada Mek Som perlu dijadikan isyarat kepada semua pihak supaya bersatu hati dan berganding bahu bagi menyelesaikan masalah masyarakat.

    “Pihak POKB berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana mengambil tindakan segera menangkap suspek dan kami menggesa penjenayah ini dikenakan tindakan undang-undang segera serta setimpal supaya dapat beri peringatan kepada orang lain,” katanya.

    Menurutnya, POKB sedia bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk menganjurkan seminar kesedaran dalam kalangan anak muda di Kelantan terutama mengenai bahaya pengambilan pil kuda 
    dan syabu memandangkan peratusan mereka bertambah serta membimbangkan.

    POKB kemudiannya menyampaikan sumbangan kecemasan sebanyak RM1,000 bagi meringankan beban Mek Som.

    Pihaknya juga menjadikan Mek Som sebagai ibu angkat POKB dan sedia membantu warga emas berkenaan termasuk pemberian kerusi roda, kaki palsu dan latihan fisioterapi serta kelengkapan lain.

    Mendekati ahli keluarga berkenaan, cucu saudaranya, Mustafa Yusof ketika ditemui memberitahu, kesihatan Mek Som kini semakin baik dan masih menunggu keputusan hospital, sama ada dia dibenarkan pulang dalam waktu terdekat ini.

    “Alhamdulillah syukur, pada mulanya kami agak keberatan untuk benarkan pihak hospital memotong kaki Tok Som, kerana risaukan kesihatan beliau. Tetapi setibanya saya di hospital pagi tadi (semalam), semuanya telah selesai. Tok Som pun dalam keadaan baik,” katanya.

    Mustafa berkata, walaupun kaki kiri neneknya itu dipotong sehingga paras betis, Mek Som kelihatan tetap tabah dan tenang.
    “Tok Som sihat, berbual dengan semua yang hadir. Makan pun tidak ada masalah. Kami telah berbincang untuk menjaga Tok Tom selepas ini,” katanya.


    Wanita Yang Sedang Hamil Maut Kemalangan|Wanita mengandung lima bulan maut dalam kemalangan di Jalan Tasek-Valdor, Nibong Tebal di sini, 10.30 pagi tadi.

    Dalam kejadian itu, mangsa Shahrul Husna Ahmad, 23, maut di tempat kejadian selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang lori tanah yang berhenti yang menyebabkannya tercampak ke laluan bertentangan dan dirempuh kereta.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, SuperintendanAbdul Shafee Abdul Samad berkata, lori dipandu Lye Chin Leong,36, berhenti selepas sebuah lagi lori di hadapannya membelok ke kanan.

    Katanya, mangsa cuba mengelak lori berkenaan namun gagal sebelum merempuh bahagian kanan lori menyebabkan dia tercampak ke laluan bertentangan.
    "Mangsa kemudian dirempuh kereta di laluan berkenaan menyebabkan dia parah di bahagian kepala dan maut di tempat kejadian.

    "Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap bagi tujuan bedah siasat dan kandungannya gagal diselamatkan," katanya ketika dijubungi di sini, hari ini.

    Abdul Shafee berkata, kedua-dua pemandu kereta dan lori sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pemgangkutan Jalan 1987.


    Dua Lelaki Memakai Topeng Melarikan Wang Tunai RM300,000,Sebuah Mesin Pengeluaran Wang Automatik (ATM) Di Sebuah Bank Di Pekan Jitra|Dua lelaki memakai topeng melarikan wang tunai RM300,000 selepas meletupkan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Pekan Jitra, di sini, hari ini.

     Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, hasil siasatan mendapati mesin ATM itu diletupkan menggunakan bom paip yang dimasukkan ke dalam mesin itu dalam kejadian jam 5 pagi.

    Katanya, berdasarkan maklumat melalui kameralitar tertutup (CCTV) mendapati suspek melarikan empat katrij wang dari mesin itu dengan menaiki sebuah kereta jenis Toyota.

    Katanya, sepasukan anggota Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang menjalankan siasatan di lokasi turut menemui sebatang paip dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

    "Siasatan masih dijalankan dan tidak menolak kemungkinan kejadian terbaru ini mempunyai kaitan dengan rompakan menggunakan kaedah sama di sebuah bank di Alor Setar pada Februari lalu.
    "Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menggunakan api, " katanya.


    Isteri Dirogol,Lelaki 27 Tahun Di Belasah Sampai Mati| Seorang suami yang berang selepas mendapat tahu isterinya dirogol bertindak nekad bertemu dengan lelaki berusia 27 tahun itu sebelum memukul hingga menyebabkannya mati.

    Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi Ahad lalu, suspek dan anaknya bertemu mangsa di sebuah stesen minyak di Sungai Besar sebelum bertindak menumbuk dan memukul mangsa menggunakan getah paip.

    Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, hasil siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai masuk ke rumah suspek dan merogol wanita terbabit sebanyak dua kali di sebuah bilik tingkat bawah rumah itu kira-kira jam 3 hingga 5.30 pagi, 15 April lalu.

    “Kejadian itu menyebabkan suspek hilang pertimbangan dan membelasah mangsa di stesen minyak berkenaan.

    "Tak cukup itu, suspek kemudiannya membawa mangsa pulang ke rumahnya di Parit 4 Sungai besar,” katanya.

    Menurutnya, mangsa kemudian dikurung dan dibelasah suspek sambil disaksikan isteri dan keluarganya.

    “Semasa mangsa berada dalam bilik, kaki mangsa diikat dengan tali getah dan turut diterajang serta dipukul menggunakan getah paip,” katanya.

    Nor Azmi berkata, seorang anak suspek kemudian menghubungi polis memaklumkan mengenai kejadian rogol melibatkan ibu tirinya yang berusia 25 tahun.

    “Mangsa kemudiannya dibawa Unit Peronda Polis (MPV) ke Balai Polis Sungai Besar. Semasa anggota MPV membawanya ke balai polis, mangsa masih hidup.

    “Bagaimanapun, ketika polis mengambil keterangan mangsa kira-kira jam 3.45 pagi hari sama, lelaki itu tiba-tiba terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.

    Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala iaitu melecet di bahagian dahi, lebam pada mata dan luka di bibir.

    “Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam mendapati punca kematian mangsa disebabkan pendarahan dalaman.

    "Sehubungan itu, empat lelaki melibatkan suspek utama dan dua anaknya serta seorang anak angkat berusia lingkungan 20 hingga 23 tahun ditahan reman sehingga 23 April ini bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kes rogol mengikut Seksyen 376.


    Seorang Murid Perempuan Tahun Dua Dipatuk Ular Hitam|Seorang murid perempuan tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Chembong kini ditempatkan di zon merah Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban selepas dipercayai dipatuk ular berwarna hitam, di padang sekolah berkenaan, pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu, mangsa, dipercayai terkena patukan ular semasa sedang berlari mengelilingi padang bagi sesi memanaskan badan semasa pembelajaran Pendidikan Jasmani.

    Insiden yang menimpa murid berkenaan kini tersebar luas melalui mesej dalam aplikasi grup WhatsApp yang turut meminta guru-guru untuk peka dengan keadaan persekitaran bagi mengelakkan insiden seumpama itu berulang kembali.

    Turut tersebar dalam mesej berkenaan ialah kemungkinan insiden berkenaan berlaku ialah keadaan cuaca panas menyebabkan ular keluar mencari kawasan lembab.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Rusni Ab Jalil ketika dihubungi berkata, Pegawai Pendidikan Daerah Rembau, Rodiah Mohd Jan telah melaporkan insiden berkenaan kepadanya sejurus selepas mendapat maklumat dari sekolah berkenaan.

    Menurutnya, pegawai berkenaan turut menziarahi murid berkenaan di HTJ serta mendapati murid berkenaan berada dalam keadaan stabil.

    “Kita kini sedang menunggu laporan penuh dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berhubung insiden berkenaan. Berdasarkan laporan awal, murid berkenaan telah terjatuh di padang dan rakan-rakannya ternampak seekor ular berwarna hitam berhampiran murid berkenaan.

    “Guru bagaimanapun tidak ternampak ular hitam berkenaan dan segera bertanyakan kepada murid sama ada berasa sakit atau tidak.  Namun murid berkenaan menyatakan tidak sakit dan turut tidak sedar terdapat ular berhampiran dengannya ketika terjatuh. 

    Rusni berkata, guru berkenaan segera membawa mangsa ke bilik guru dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan (KK) Rembau selepas guru menyedari terdapat perubahan pada wajah murid.

    Menurutnya, ketika dalam perjalanan guru berkenaan memaklumkan kepada keluarga murid dan sebaik tiba di KK Rembau serta dimaklumkan kemungkinan murid berkenaan terkena patukan ular, murid berkenaan dikejarkan ke HTJ menggunakan ambulans.

    “Pihak hospital mengesahkan terdapat kesan gigitan dipercayai patukan ular di bawah lutut kanan murid berkenaan.  Bagaimanapun, murid berkenaan kini berada dalam keadaan stabil," katanya.

    Untuk rekod, Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang murid perempuan tahun 1, maut dipercayai dipatuk ular ketika waktu rehat di taman hadapan kelasnya di Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Hashim 1.

    Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa Nuriey Nadhirah Roslan,7, meninggal dunia selepas mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan PengKalan Chepa.

    Mayat mangsa‎ kemudiannya dibawa ke wad kecemasan sebelum dirujuk ke unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

    Difahamkan mangsa terkena gigitan di betis kiri‎nya.


    Budak lelaki Maut Terjatuh Dari Tingkat 20|Budak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas terjatuh dari balkoni rumah keluarganya di tingkat 20, Kondominium Palm Spring, Kota Damansara, di sini, malam tadi.

    Dalam kejadian 8 malam itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, siasatan di lokasi mendapati hanya kakak dan abang berusia 17 serta 16 tahun berada di rumah.

    "Mangsa terjatuh dari balkoni bahagian belakang dan mengalami kecederaan parah di kepala.

    "Pasukan perubatan mengesahkan mangsa maut sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan susulan," katanya.


    Dua Ekor Lembu Milik Imam Masjid Pantai Kuala Melawi,Nyaris Dicuri Sindiket Curi Lembu Pagi Semalam|Dua ekor lembu milik Imam Masjid Pantai Kuala Melawi, Abdul Majid Mat Daud, 67, nyaris dicuri sindiket curi lembu pagi semalam.

    Abdul Majid berkata, cubaan mencuri lembu peliharaannya itu disedari anaknya ketika melalui kawasan kebun kelapa berdekatan rumahnya pada jam 7 pagi semalam.

    Beliau berkata, anaknya yang melalui kawasan itu melihat sebuah van dalam keaadan mencurigakan berada dua meter dari kandang lembu di Kampung Anak Rhu.

    “Biasanya saya akan lalu jalan besar di belakang rumah yang dekat dengan kandang lembu untuk ke masjid pada waktu Subuh tetapi pagi tadi (semalam) saya tak lalu jalan tu dan ambil jalan kecil depan rumah sahaja. Kalau lalu jalan tu sambil lalu saya akan suluh tengok lembu dulu. 

    “Kemudian pagi tadi jam 7 pagi anak telefon beritahu ada van yang mencurigakan di kawasan kandang lembu. Saya terus ke sana dan dapati tiada orang dalam tu. Van itu sudah dibuang bahagian tempat duduk belakang dan saya syak mereka cuba curi dua ekor lembu yang ada di situ.

    Anak saya periksa rupanya van itu sudah rosak dan tak dapat dihidupkan. Saya rasa kalau van itu tak rosak mungkin mereka dah angkut dua ekor lembu itu yang nilainya tak kurang daripada RM7,000,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

    Abdul Majid berkata, sejurus selepas itu dia menghubungi Balai Polis Bachok untuk memaklumkan kejadian tersebut.

    Katanya, hasil siasatan awal pihak polis mendapati van itu dilaporkan hilang di Wakaf Che Yeh pada 16 Januari lalu.

    Menurutnya, dia amat bersyukur kerana hasrat pencuri itu tidak kesampaian dan itu bukan kejadian pertama yang berlaku.

    “Tahun lepas saya dah rugi seekor lembu apabila pencuri melapah lembu saya di kandang dan  tinggalkan sisa perut sahaja.

    “Saya percaya mereka lakukan kegiatan itu pada awal pagi ketika semua orang sedang tidur dan jalan di situ pun lengang. Saya dimaklumkan pihak polis bahawa nombor pendaftaran palsu yang digunakan, nombor asal ada di belakang nombor palsu yang ditampal“,” katanya.


    Seorang Warga Emas Cabul Budak Perempuan 10 Tahun| Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di Gunong, Bachok terselamat daripada menjadi mangsa cabul seorang warga emas selepas tindakan suspek disedari dua abang mangsa.

    Dalam kejadian jam 3.50 petang Jumaat lalu, suspek berusia 69 tahun, yang juga jiran mangsa dan seorang gembala lembu cuba melakukan perbuatan tersebut selepas memanggil mangsa melalui tingkap rumah, sebelum kanak-kanak itu diminta ke bahagian dapur.

    Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, suspek dikatakan masuk ke rumah mangsa dan membuka seluar kanak-kanak tersebut.

    “Ketika itu mangsa dikatakan tinggal bersama adiknya yang berusia setahun. Secara kebetulan, dua abang mangsa pulang ke rumah dan melihat suspek yang dalam keadaan separuh bogel duduk berhadapan dengan adik mereka.

    "Suspek  kemudiannya bangun dan terus keluar sebaik sahaja menyedari kehadiran abang-abang mangsa,” katanya.

    Menurutnya, ibu mangsa, seorang suri rumah yang tidak berada di tempat kejadian ketika itu bergegas pulang setelah dimaklumkan mengenai kejadian itu sebelum membuat laporan polis.

    Manakala mangsa pula telah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

    “Kita telah menahan suspek beberapa jam kemudian semasa dia datang ke Balai Polis 
    Gunong, Bachok. Dia ditahan reman selama empat hari bermula hari ini (semalam) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul,” katanya.

    Dalam pada itu,  suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Kota Bharu di sini semalam menaiki sebuah van polis kira-kira jam 10 pagi.

    Ketika ditahan kira-kira jam 8 malam, suspek difahamkan tidak menggunakan sebarang alat bantuan, namun beliau dilihat menggunakan tongkat ketika masuk ke bilik reman semalam.

    Perintah reman dikeluarkan oleh Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret Kota Bharu, Rosli Ahmad.

PALING HOT

Subscribe Now!

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner


Top