Taiping, Bukit Gantang diwarta wabak rabies





MUKIM Taiping dan Bukit Gantang di daerah Larut Matang dan Selama (LMS) di Perak, hari ini, diwartakan sebagai kawasan jangkitan rabies atau anjing gila berikutan empat sampel diambil mendapati ia positif wabak berkenaan.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, ujian dilakukan selepas pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menerima maklumat daripada pengadu dari Taman Sri Kota Fasa 2, Taiping, 31 Disember lalu.
Beliau berkata, pengadu berkenaan melaporkan dua ahli keluarganya digigit oleh seekor anjing miliknya pada 25 Disember dan anjing itu dilupuskan oleh pengadu pada 3 Januari.
“Pada 4 Januari, sampel otak daripada anjing itu diuji dan disahkan positif penyakit rabies oleh Institut Penyelidikan Veterinar (VRI), Ipoh.
“Survelan dan persampelan dijalankan serta-merta di dalam lingkungan dua kilometer (km) radius dari foci (tempat bermula) jangkitan bagi mengetahui status perebakan penyakit rabies di kawasan berkenaan.
“Sebanyak tiga lagi sampel (daripada anjing berkeliaran) dikesan positif daripada 30 sampel yang diambil pada 11 Januari iaitu di sekitar kawasan Tupai Business Centre dan pekan Sri Boyan.
“Pewartaan kawasan jangkitan rabies dilakukan pada 14 Januari (hari ini). Pewartaan ini membabitkan Mukim Taiping dan Mukim Bukit Gantang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebagai rekod, ini kali kedua kawasan di LMS diwartakan dengan wabak itu. Pada 17 Julai 2017, Mukim Matang diwartakan sebagai kawasan jangkitan wabak sama susulan satu kes dilaporkan di Kuala Sepetang pada 4 Julai.
Dr Quaza Nizamuddin berkata, selain pewartaan, kawalan rabies turut membabitkan aktiviti survelan dan persampelan anjing dan kucing terbiar dalam kawasan dua hingga 10km radius secara berperingkat dari Foci 1 (Taman Sri Kota, Taiping) yang sudah dimulakan.
Beliau berkata, aktiviti sama juga akan dilaksanakan di tiga lagi daerah iaitu Kerian, Kuala Kangsar dan Kinta, manakala kempen kesedaran awam akan dijalankan bersama pihak Pejabat Kesihatan Daerah Taiping di sekolah, masjid, rumah ibadat dan kawasan tumpuan orang ramai sehingga 10km radius dari foci jangkitan secara berperingkat.
Katanya, pemvaksinan anjing bertuan dalam kawasan dijangkiti rabies iaitu satu hingga 10km radius secara berperingkat pula dijadualkan bermula esok.
“Anjing yang divaksin akan diberi kolar sebagai tanda pengenalan dan kad rekod vaksinasi rabies akan diberikan kepada pemilik anjing yang telah diberi vaksin rabies.
“Pemusnahan anjing terbiar dalam satu hingga 10km radius dari foci dijangkiti rabies dijalankan dengan kerjasama PBT (pihak berkuasa tempatan) bermula hari ini,” katanya.
Beliau berkata, survelan pasif bagi kes gigitan haiwan pada manusia akan diteruskan bagi mengesan haiwan dan membuat penilaian ke atas kes berkenaan, manakala rondaan jalan raya akan dilakukan oleh penguat kuasa JPH bagi mengesan cubaan memindahkan haiwan disyaki dijangkiti rabies keluar dari kawasan jangkitan.
Katanya, pihaknya memerlukan kerjasama pemilik anjing di kawasan berkenaan untuk memastikan peliharaan mereka diberi suntikan vaksin rabies, selain anjing dan kucing peliharaan juga perlu dikurung untuk mengelakkan berlaku gigitan daripada anjing berkeliaran.
“Orang ramai dinasihatkan tidak mendekati anjing berkeliaran. Jika berlaku gigitan, bersihkan luka dengan sabun dan terus ke klinik kerajaan berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
“Orang ramai diminta untuk melaporkan kepada PBT atau pejabat veterinar jika mendapati anjing berkeliaran di kawasan tertentu,” katanya.
Sebarang aduan atau pertanyaan boleh menghubungi Pejabat Perkhidmatan Veterinar LMS di talian 05-8072703

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments:

Write a Comment

PERINGATAN: Pihak F&S NETWORK tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian dari pihak kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

PALING HOT

Subscribe Now!

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner


Top