TEKNOLOGI Sukan Kini Lebih Maju


TEKNOLOGI Sukan Kini Lebih Maju|Anda mungkin masih mengingati jaguh olahraga 400 meter lari berpagar negara, Noraseela Khalid yang mengharumkan nama negara di peringkat tertinggi malah pernah meraih pingat gangsa Sukan Asia 2006.

Namun, beliau terpaksa melupakan karier cemerlangnya sebagai atlet selepas dilaporkan tidak mampu berlari kerana kecederaan.

Awal tahun ini, Seela terpaksa melupakan kariernya berikutan kecederaan lama yang masih menghantuinya.


Meskipun kecederaan tidak dapat dielakkan dalam sukan, perkembangan teknologi kini boleh membantu ahli sukan yang berwibawa seperti Seela untuk tidak risau mengenai keperluan bersara daripada kerjaya yang sedang berkembang akibat kecederaan.

“Kira-kira 70 peratus kecederaan berlaku kerana aktiviti badan berlebihan.
Ia berlaku kerana terlalu banyak tekanan pada badan atlet sama ada dalam otot, sendi atau sistem kardiovaskular,” kata pegawai perubatan sukan, Dr Roger Tian.

Namun, dengan adanya teknologi canggih seperti yang dihasilkan pembuat perisian, SAP, ia berupaya membantu mengelak ahli sukan menempuh masa sukar membabitkan kecederaan.

Firma penyelesaian teknologi maklumat Jerman itu melancarkan aplikasi baru untuk digunakan ahli sukan dan pihak pengurusan di seluruh dunia meningkatkan pengalaman mereka dan membantu mencegah pemain daripada mendapat kecederaan.

Hanya dengan data dikumpul dalam sensor kecil dan kemudian dianalisis secara komprehensif melalui komputer, pihak pengurusan sukan berupaya melihat sejauh mana kemampuan atlet itu beraksi dan masa depan prestasi.

Aplikasi pemantau risiko kecederaan terbabit mengumpul data seperti kadar jantung pemain, kadar pernafasan dan jarak perjalanan melalui sensor yang dilekatkan pada peranti boleh pakai atau mana-mana peranti dirasakan sesuai oleh pihak pengurusan sukan.


Atlet boleh memakainya ketika perlawanan dan latihan untuk mengira tahap kecergasan mereka dengan mengambil kira sejarah kecederaan lampau dan diet.

Pihak pengurusan seperti jurulatih pula boleh melihat data dalam maklumat visual, dipermudahkan untuk profesional perubatan untuk menganalisis secara kolektif sekali gus mengurangkan risiko dengan pantas.

SAP mempamerkan teknologi terbabit kepada media termasuk IT@Metro ketika sesi yang berlangsung di Si­ngapura, baru-baru ini.

Ketika sesi terbabit, penjaga gol pasukan bola sepak Home United dari Singapura, Zulfairuuz Rudy melakukan demonstrasi aplikasi secara langsung, menunjukkan latihan bola sepak mudah dengan memakai baju khas di sebalik jersi beliau.

Data termasuk keadaan dan prestasi sejarah fisiologi Zulfairuuz ditunjukkan pada skrin pada masa sebenar yang boleh digunakan untuk me­nyesuaikan latihan pemain sekali gus meningkatkan prestasi dan tahap latihan.

SAP percaya perisian ini juga boleh membantu pasukan kebangsaan memilih pemain hebat untuk acara sukan global seperti Sukan Olimpik dan Piala Dunia, seakan-akan filem Moneyball yang dikeluarkan pada 2011.

Dalam filem berdasarkan kisah benar itu, Brad Pitt yang memainkan watak
Billy Beane selaku pengurus Major League Baseball meng­gunakan analisis untuk mewujudkan pasukan yang memenangi musim 2002.

Ia adalah contoh mudah bagaimana analisis memainkan peranan dalam dunia sukan di dalam dan luar padang.

Eksekutif Penyelesaian SAP, Puneet Suppal, berkata penyelesaian terbabit berjaya menarik minat sukan seperti kriket, besbol dan bola sepak.

“Kami masih berbincang untuk memberi tempoh masa tertentu bagi pelepasan aplikasi ini ke pasaran,” katanya.

Analisis sukan menggunakan teknologi bukan perkara asing terutama apabila ia mula mempelihatkan hasil memberangsangkan dan ternyata berbaloi.

Mana tidaknya, pasukan kebangsaan Jerman juga menggunakan teknologi hampir sama yang membuah­kan hasil apabila mereka merangkul juara dalam Piala Dunia tahun lalu.

Hampir kebanyakan keputusan serta kajian terhadap pemain bola sepak dilakukan dengan analisis komputer yang membolehkan jurulatih membuat keputusan.

Malah, teknologi analisis terbabit berupaya memaklumkan kekuatan pemain seperti kaki mana yang lebih hebat mengawal bola dan kawasan lawan mana perlu diberi perhatian khusus semuanya berdasarkan analisis tepat.

Meskipun tidak boleh didedahkan lagi, pasukan terbabit sudah menunjukkan kesediaan menggunakan teknologi SAP yang memperluaskan penggunaan teknologi sukannya.

Teknologi terbabit selari dengan penggunaan Hana iaitu penyelesaian generasi masa depan bertujuan membantu memudahkan tugas perkomputeran serta analisis data lebih bersepadu dan bertepatan dengan kehendak semasa.

Terkenal dengan penyelesaian canggih bagi enterpris, SAP mengetengahkan satu lagi rumusan yang mampu membantu organisasi untuk melonjakkan operasi berskala lebih besar menggunakan teknologi perisian moden.

Perisian berdasarkan perkomputeran ‘cloud’ di premis dan penggunaan hibrid untuk memberikan pilihan maksimum kepada pengguna yang berpotensi.

Ia bertepatan dengan organisasi sekarang banyak menggunakan sistem teknologi yang tinggi bagi memudahkan mereka untuk me­nyimpan data, tetapi masih terdapat kekurangan apabila berlaku kesesakan talian menyebabkan sistem tidak dapat diakses.

Teknologi ini mempunyai pelbagai guna bagi menganalisis sumber data dalam aplikasi yang boleh menyelenggarakan aplikasi organisasi seperti perancangan, peramalan, prestasi operasi dan simulasi.

Selain itu, teknologi itu juga membantu semua jenis perniagaan bagi meningkatkan prestasi penggunaan teknologinya dalam operasi perniagaan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments:

Write a Comment

PERINGATAN: Pihak F&S NETWORK tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian dari pihak kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

PALING HOT

Subscribe Now!

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner


Top