Mat rempit ‘tawan’ stesen minyak



Serdang: Setiap hujung minggu sebuah stesen minyak di lebuh raya PLUS, di sini, berubah menjadi 'litar mini' apabila puluhan mat rempit berkumpul dan membunyikan enjin secara kuat sehingga mengganggu ketenteraman.
Kehadiran mereka dikesan pada hujung minggu terutama malam Sabtu dan Ahad dan apabila cuti umum, bermula 10 malam sehingga awal pagi.
Seorang bekas mat rempit yang hanya mahu dikenali sebagai Shah, 34, mendedahkan perbuatan membunyikan enjin adalah untuk menjadikan lokasi itu lebih 'panas' dengan menarik perhatian pihak berkuasa.
"Apabila keadaan mula bingit, lebih ramai mat rempit akan berkumpul dan membanjiri stesen minyak berkenaan," katanya.
Dia juga yang pernah 'bermain' di kawasan berkenaan, berkata lokasi itu popular kerana terletak di tepi lebuh raya utama dan mempunyai banyak laluan untuk melarikan diri sekiranya diserbu polis.
"Kadangkala stesen minyak berkenaan dijadikan lokasi permulaan untuk perlumbaan haram di sepanjang lebuh raya dan BESRAYA," jelasnya.

Dia yang enggan nama didedahkan, berkata apabila begitu ramai mat rempit muncul, beberapa pengguna, terutama pemandu kereta yang hendak mengisi minyak terpaksa melupakan hajat itu.
“Mereka tidak laju tapi bingit mengelilingi beberapa pam minyak,” katanya.
Pengguna, Mohd Zaki Abdul Razak, 30, pula berkata kelibat puluhan mat rempit di stesen minyak berkenaan pada malam minggu menyebabkan dia dan keluarga berasa kurang selesa untuk berhenti mengisi minyak.
"Apabila mereka mula membunyikan enjin dengan kuat, keadaan menjadi bising malah udara juga tidak sihat akibat asap yang dikeluarkan ekzos motosikal," katanya.
Sementara itu Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff, berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat mengenai aktiviti samseng jalan raya di kawasan itu.
“Kita mengalu-alukan perkongsian maklumat khususnya daripada orang ramai kerana operasi cegah samseng jalan raya memerlukan perancangan rapi untuk mengelakkan mereka melarikan diri ketika serbuan," katanya ketika dihubungi.
Beliau menegaskan pihaknya sentiasa melakukan operasi dan pemantauan di lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan mat rempit dari semasa ke semasa.
Lebih menyedihkan, majoriti yang menjadi mat rempit adalah golongan remaja dengan ada dalam kalangan mereka masih di bangku sekolah atau di pusat-pusat pengajian tinggi.
Katanya, statistik terbaru menunjukkan 6 daripada 10 kematian kemalangan jalan raya membabitkan motosikal dengan lingkungan umur mangsa antara 16 hingga 25 tahun.
"Saya sering tekankan peranan ibu bapa dan keluarga dalam membendung gejala ini. Mereka harus ambil tahu apa aktiviti anak-anak terutama pada malam minggu dan nasihati mereka sekiranya terlibat dalam kegiatan rempit," tegasnya.
Menurutnya, terdapat ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka menggunakan motosikal meskipun tidak mempunyai lesen sah.
"Perbuatan itu umpama membunuh anak sendiri di jalan raya. Justeru saya ingatkan kepada ibu bapa agar pantau aktiviti anak-anak. Jangan sesekali benarkan mereka menggunakan motosikal jika tidak mempunyai lesen sah," katanya.
caption
AKSI mat rempit di stesen minyak

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments:

Write a Comment

PERINGATAN: Pihak F&S NETWORK tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian dari pihak kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

PALING HOT

Subscribe Now!

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner


Top