Haziq bakal keluar single pertama | SELEPAS tujuh bulan berehat akibat terlibat dengan kemalangan jalan raya tahun lalu, bekas vokalis Putera Band, Haziq, kini semakin sembuh dan sudah mampu berjalan.
    “Alhamdullilah keadaan saya sekarang makin baik setelah berapa bulan berehat di rumah.
    “Sepanjang tempoh itu, banyak pengajaran yang saya dapat selain sentiasa bermuhasabah diri.
    ‘Saya sedar, hidup ini kena ada limit dalam apa pun yang dilakukan termasuk untuk keluar dengan kawan-kawan,” katanya kepada Sinar Harian.
    Bangkit kembali untuk meneruskan kerjaya seninya, Haziq bakal muncul dengan single pertamanya pada bulan Jun depan selepas lebih setahun bergerak solo.
    Haziq atau nama penuhnya Muhammad Haziq Hasbullah, 20, ketika dihubungi berkata, dia masih mengekalkan genre balad moden untuk single solonya itu.
    “Konsepnya nanti lebih kurang macam lagu kedua bersama Putera Band dulu, lagu Tersiksa dan peciptanya juga masih orang yang sama, Haqiem Rusli.
    “Saya memang suka genre sebegitu, tambahan pula lagu-lagu hasil ciptaan Haqiem Rusli memang sesuai dengan saya.
    “Harap peminat bersabar menantikan comeback saya untuk single solo ini,” ujarnya.
    Haziq sebelum ini terlibat dalam kemalangan ketika membonceng motosikal bersama rakannya di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 5 Julai tahun lalu sehingga menyebabkan kaki kanan cedera teruk akibat salur darah putus.

    'Dia cakap saya dah cukup manis, minum air mineral je tak payah ABC'

    PELAKON, pengacara dan penerbit Sheila Rusly kerap berkongsi momen manis bersama suaminya Jinggo atau nama sebenarnya Azman Yahya di akaun Instagram miliknya.

    Menerusi salah sebuah entri, Sheila berkongsi foto ketika menikmati Air Batu Campur (ABC) bersama suaminya itu.

    Dalam pada itu, Sheila turut menulis kapsyen yang disifatkan 'sweet' oleh netizen.

    "Dia cakap saya dah cukup manis, minum air mineral saja tak perlu makan ABC," tulisnya berseloroh.

    Di ruangan komen, rata-rata netizen memuji sifat romantis yang dimiliki oleh pasangan ini.
     
    Sheila mula menjejak kaki di industri hiburan tanah air pada tahun 1986 dan berjaya mengekalkan popularitinya sehingga kini menerusi kemunculan dalam filem, drama dan beberapa program televisyen tempatan.


    Uqasha Senrose Sudah Mula Tidak Hijab | Atas apa alasanpun, saya mengaku khilaf ini datang daripada diri sendiri. Soal dosa dan pahala itu biarlah antara diri ini dengan Tuhan." 

    Begitulah luahan hati pelakon jelita, Uqasha Senrose, 23, yang membuat pengakuan bahawa dirinya sudah tidak lagi bertudung selepas tiga tahun berhijab. Akui pelakon teater 

    Ombak Rindu ini, sejak berhijab, imannya tidak tetap. "Selama tiga tahun, saya akui iman saya turun naik. Pendek kata memang tak konsisten. 

    Saya masih muda dan keputusan bertudung itu hadir ketika hati masih berkecamuk selepas putus cinta. Mungkin juga saya tak fikir panjang. "Saya seperti hilang arah tuju dan melihat tekad untuk bertudung itu dapat memulihkan semangat serta membuka fasa baharu dalam hidup. Tetapi sebaliknya yang terjadi. "Malah dalam tempoh itu juga apabila keluar kontroversi itu dan ini, ada mulut yang 

    lantang mendakwa lebih baik tak bertudung kalau buat perangai," katanya ketika ditemui di sini, petang ini. Pada pertemuan itu, Uqasha membenarkan wajah terbaharunya dirakamkan tetapi dalam keadaan berselendang biarpun pada hakikatnya, dia sudah 

    kembali kepada penampilan asal. Tegas Uqasha lagi, khilaf dirinya itu bukan kerana mahu mempermainkan agama. "Saya mahu jadi diri sendiri. Saya tak mahu dibayangi dengan kisah bertudung itu lagi. Saya rasa diri ini lebih mempermainkan agama dan seperti munafik jika bertudung tetapi tidak menonjolkan sikap yang bertepatan dengan gaya berkenaan," 

    katanya. Kakak kepada Nelydia Senrose dan Raysha Rizrose ini bersedia menerima apa saja kemungkinan selepas mengaku tidak lagi berhijab termasuk cercaan dan kecaman netizen. Bagi Uqasha, dia lebih rela dihukum manusia daripada terus hidup kepura-puraan. 

    Sebelum ini, Uqasha pernah dikecam selepas gambarnya tidak bertudung dan seksi ketika bercuti di Koh Lipe, Thailand, tersebar.


    Pelakon jelita Nora Danish yang sebelum ini kecoh apabila dikatakan bahawa dia bakal berkahwin dalam masa terdekat telah mendedahkan bahawa dia akan berkahwin dengan Nedim selepas Hari kemerdekaan ini


    Menurut Nora, apa yang pasti majlis perkahwinannya akan tetap berlangsung pada tahun ini juga.

    Seperti sedia maklum, Nora yang sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa majlis perkahwinannya nanti akan diadakan secara sederhana sahaja. Malah, ia cukup sekadar dengan kemeriahan tetamu kesayangan yang datang ke majlis perkahwinan mereka nanti.



    Mereka yang sudah berkenalan selama bertahun-tahun sehingga suatu ketika dahulu pernah digosipkan putus cinta namun mungkin sudah tertulis jodoh mereka untuk bersama kembali. Semoga majlis perkahwinan yang bakal diadakan nanti akan berjalan lancar. Apapun, tahniah buat Nora dan Nedim.


    Mungkin anda semua terutama yang lelaki pasti akan tertambat dan terpukau dengan senyuman manis Cikgu Aishah ni kan, maklumlah dia menjadi viral suatu ketika dahulu sebab status “Cikgu Aishah” membuatkan gara-gara bapa kanak-kanak sanggup menulis surat.. Ha.. ingat lagi tak..?
    Pelakon baharu Puteri Aishah memberitahu dia menangguhkan hasratnya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perguruan bagi memberi fokus terhadap kerjaya seni terlebih dahulu.
    Aishah atau nama sebenarnya Puteri Aishah Sulaiman, 22, berkata, dia ingin menggunakan platform Dewi Remaja 2015 lalu untuk mencuba nasib dalam bidang lakonan sebelum bekerja dalam bidang perguruan sepenuhnya.
    “Pada mulanya saya berhasrat untuk sambung belajar dalam diperingkat Ijazah Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) selepas menamatkan pengajian diperingkat diploma tahun lalu.
    “Namun, saya tangguhkan sementara untuk cuba nasib dalam industri seni terlabih dahulu, saya rasa sayang tidak gunakan platform Dewi Remaja lalu untuk mencuba bidang seni terlebih dahulu,” ujarnya.
    Bagaimanapun, Aishah berkata, dia akan meneruskan hasrat tersebut kurang lima tahun selepas dia menceburi bidang seni.
    Aishah atau dikenali sebagai Cikgu Aishah selepas gambarnya mengajar di sebuah sekolah tahun lalu mendapat perhatian dan menjadi viral dilaman sosial.
    “Insya-Allah dalam tempoh kurang lima tahun saya akan sambung pengajian seperti yang saya rancang, saya juga tidak mahu selamanya jadi artis.
    “Saya nak tengok dahulu sejauh mana saya mampu pergi dan rezeki yang datang daripada industri seni,” ujarnya.
    Sementara itu, ditanya tentang pendapat segelintir pihak yang mempertikaikan bakatnya sebagai pelakon, Aishah berkata, sebagai pelakon baharu dia masih dalam proses pembelajaran.
    Katanya, selain memasuki kelas lakonan, dia juga banyak bertanya dan meminta tunjuk ajar daripada pelakon lebih berpengalaman.
    “Saya sedar masyarakat ada persepsi terhadap pelakon daripada Dewi Remaja yang dikatakan lebih menjual rupa paras daripada bakat.
    “Perkara itu yang cuba saya sangkal dengan membuktikan tidak semua seperti itu, saya ada ambil kelas lakonan daripada pelakon Fauziah Nawi sebelum mula menerima tawraan drama.
    “Saya tidak mahu kosong ketika penggambaran dan menjejaskan produksi dan pelakon lain di lokasi penggambaran,” ujarnya.
    Kata Aishah, dia juga mempunyai sasaran tersendiri iaitu merangkul anugerah berprestij dalam bidang lakonan bagi menyangkal dakwaan itu.
    Dalam perkembangan lain, Aishah bakal terlibat dengan persembahan teater Muzikal Randai Cindua Mato pada 25 hingga 27 Mac depan di Istana Budaya.
    Dia bakal bergandingan dengan beberapa pelakon terkenal iaitu Remy Ishak, Azhan Rani, Vanidah Imran, Datuk Jalaluddin Hassan dan Datuk Ahmad Tamimi Siregar.


    Pelakon yang sedang meningkat naik, Mia Ahmad mengakui terlalu awal untuk mengiyakan ada cinta terbit antara beliau dengan penjaga gol dari pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Izham Tarmizi.
    Mia yang ingin bersikap jujur dengan peminatnya mengakui hubungannya dengan Izham sekadar rakan biasa. Tidak mahu terlalu hebat bercerita sesuatu yang dia sendiri tidak pasti, pelakon cantik ini lebih selesa membiarkan waktu menentukan perjalanan hubungan itu.
    “Kita lihat macam mana, saya tidak mahu bercakap tentang sesuatu yang tidak pasti akan terjadi. Pada saya soal ini juga terlalu peribadi.
    “Bagaimanapun saya tidak mahu menjadi seorang yang hipokrit, sebab itu jika benar ada yang berlaku antara kami, saya akan kongsikan kelak,” katanya.
    Tidak menolak sudah memikirkan soal perkahwinan, namun tiada tanda ke arah merobah status diri dalam waktu terdekat. Selesa berkawan dan hanya mahu orang di luar mengetahui Izham adalah seorang yang baik, tanpa selindung mengakui dirinya senang sebegitu.
    “Memang ada fikir soal perkahwinan, kalau ikutkan di umur saya sekarang memang sesuatu yang perlu. Namun saya tidak fikir ia akan berlaku dalam waktu terdekat. Soal Izham pula apa yang boleh saya cakap, saya tidak nafikan bahawa dia adalah seorang lelaki yang baik,” katanya.


    Apapun, jika sudah jodoh mereka tak kemana jua. Kita doakan yang baik-baik sahaja buat Mia Ahmad dan Izham Tarmizi.


    Pelakon Lawak Terkenal Pak Pie Meninggal Dunia |Assalamualaikum...Untuk makluman Pelakon lawak terkenal Pak Pie baru saja menghembuskan Nafasnya terakhir dirumah anak beliau di teluk bhng..marilah kita sama2 sedekahkan al-fatihah kepada beliau..smoga roh arwah di cucuri rahmat dn ditempatkan di kalangan org2 yg beriman..Al-Fatihah..


    Along Cham:Tiada istilah halau|Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula hubungan suami isteri. Itulah dilema yang berlaku dalam rumah tangga pelawak, pelakon dan pengacara, Along Cham, 33, bersama isterinya, Zila Saeron, 28.
    Meskipun perkahwinan pasangan ini berlandaskan jalinan cinta dua hati dan melahirkan seorang cahaya mata, Ahmad Danial, 6, apakan daya dugaan datang tanpa dijangka. Ibaratnya entah di mana silapnya tanpa angin tiba-tiba saja mahligai yang dibina bergoyang.
    Selesa mengambil pendekatan berdiam diri sebelum ini, nyata tindakan Zila membuat penjelasan kepada media bagaikan cuba mencabar Along atau Muhammad Nizamuddin Ahmad.
    Jika sebelum ini Along sekadar membaca WhatsApp media kepadanya tanpa memberi penjelasan, akhirnya dia akur perlu muncul untuk membela diri.
    Kata Along, tiada istilah menghalau isteri dan anak dalam episod kehidupan rumah tangganya sebagaimana dikatakan Zila.
    Anak jati Johor ini akui tidak pernah terlintas di hatinya walau sekelumitpun untuk menghalau isteri dan anak keluar dari rumah.
    “Memang saya tidak pernahpun mengusir dia (Zila) bersama anak kami keluar dari rumah. Mereka (Zila dan anak) yang tinggalkan rumah tanpa pengetahuan saya. Biras yang datang mengambil mereka di rumah tanpa izin saya.
    “Selama dia dan anak kami keluar rumah tinggalkan saya dan pulang ke rumah ibu mentua di Felda Lui, Negeri Sembilan, mereka langsung tidak menghubungi saya,” katanya.
    Along akui pelik dengan tindakan Zila tetapi dia hanya bersabar. Kata Along, sebaik saja dapat gaji, dia bercadang untuk pergi bercuti.
    “Saya cadang apabila dah ada duit, terus ambil mereka di rumah mentua dan kami sekeluarga pergi bercuti bersama. Dapatlah kami memperbaiki silap antara satu sama lain.
    “Apapun, lain pula jadinya ketika saya ke rumah mentua. Zila sangat ego di hadapan ibunya hingga sanggup menjatuhkan maruah saya.
    “Apa dia lakukan terlalu peribadi untuk saya kongsikan. Pun begitu, saya tetap merayu kepada dia supaya kami bersama dan masing-masing berubah,” katanya.
    Kata Along, Zila minta diberikan masa untuk terus tinggal di kampung kerana mahu menghilangkan tekanan dihadapi. Malah Zila juga berjanji kepadanya dan anak mereka supaya menjemputnya hujung minggu akan datang.
    Naib juara program Raja Lawak musim kedua itu berkata, walaupun berat hatinya ketika itu tetapi dia balik ke rumah ibu bapanya di Johor Bahru ditemani bapa saudara isteri Mawi, Ekin.
    Mengenai tindakannya memfailkan nusyuz terhadap Zila, Along berkata, dia mempunyai beberapa sebab kukuh untuk berbuat demikian.
    “Salah satunya, Zila keluar dari Felda Lui untuk berhibur bersama kakak kandungnya hampir setiap malam di sekitar Seremban tanpa izin saya.
    “Zila juga tidak memberitahu saya di mana tempat tinggal dia. Selain itu, dalam telefon hampir setiap hari Zila mendesak saya menceraikannya.
    “Senang cakap, bermacam-macam cara yang dia (Zila) buat untuk dilepaskan tetapi saya kuatkan hati bertahan untuk cuba selamatkan rumah tangga kami,” katanya.
    Menurut Along, dia enggan hal rumah tangga dia dan Zila menjadi buah mulut kerana sangat menghormati nama baik dan maruah ibu bapanya termasuk keluarga mentua.
    Katanya, segala usaha dilakukan gagal apatah lagi dengan sikap Zila yang terlalu bongkak. Along juga kesal kerana Zila sanggup melukakan hati anaknya sendiri.
    “Pernah sekali ketika itu Ahmad Danial menghubungi Zila dan bertanya bila mama mahu Danial datang ambil mama? Zila boleh menjawab, ‘tak tahu lagi, mama tak balik dah kot.’ Ketika itu, Danial terus mencampakkan telefon atas katil. Saya pun tegur dia.
    “Perlukah seorang ibu cakap seperti itu kepada anaknya? Zila terus melenting dan meminta dia dilepaskan,” luah Along.
    Apa pun, Along bersyukur kerana pada Ramadan lalu, khabarnya Mawi dan Ekin mengambil Zila bekerja menguruskan butik mereka.
    Katanya, dia sangat lega kerana sekurang-kurangnya Zila berada dalam situasi positif berbanding sebelumnya.
    “Cuma saya agak kesal mengapa selepas berbulan-bulan baru Zila menyatakan perasaan rindunya kepada anak. Ke mana perginya naluri sebagai seorang ibu ketika dia asyik mendesak untuk diceraikan ketika telefon?
    “Apapun, sepatutnya Zila kena bersyukur. Ibu dan bapa saya sanggup bersama-sama menjaga anak kami dengan penuh kasih sayang dan tiada juga istilah melarang dia datang berjumpa anak.
    “Lagi pun, sebagai ibu pastinya dia tahu di mana anaknya berada. Sepanjang Syawal, Zila tidak datang menjenguk anak pun. Alasan diberikan Zila disebabkan masalah kewangan,” katanya.


    Datuk Siti Nurhaliza:Isu lagu sama selesai|“Saya terkejut apabila mendapat tahu lagu kami sama. Bagaimanapun, Rabbani sudah menghantar surat memohon maaf dan menjelaskan perkara sebenar.”
    Itu reaksi penyanyi Datuk Siti Nurhaliza berhubung isu lagu raya nyanyiannya Hari Kemenangan dikatakan diciplak daripada lagu kumpulan nasyid Rabbani berjudul Kemenangan, baru-baru ini.
    Siti ketika ditemui berkata, tidak timbul soal siapa ciplak siapa kerana ia hanyalah salah faham di antara pencipta lagu terbabit iaitu Pak Ngah dengan Rabbani.
    “Beberapa hari sebelum Aidilfitri lalu, ada peminat beri komen di YouTube mengatakan lagu baru saya sama dengan Rabbani selepas dia menonton video persembahan kumpulan itu.
    “Ketika diberitahu saya akui terkejut kerana tidak tahu lagu ciptaan Pak Ngah ini turut dinyanyikan Rabbani. Jadi, saya terus cari penjelasan dan rupa-rupanya ia hanyalah salah faham,” katanya.
    Siti berkata, Pak Ngah yang mencipta lagu itu untuk single raya terbaru Siti langsung tidak tahu Rabbani turut merakam lagu itu yang sebelum ini pernah diberikan kepada mereka beberapa tahun lalu.
    “Sebelum ini Pak Ngah ada beri empat hingga lima lagu kepada Rabbani tetapi mereka tidak memberi maklum balas menyebabkan Pak Ngah menganggap mereka tidak berminat merakamkan lagu itu.
    “Tanpa disangka, Rabbani merakam lagu itu tetapi tidak dikomersialkan menyebabkan berlaku kekeliruan kerana hak cipta masih milik Pak Ngah,” katanya.
    Berikutan perkara itu, Rabbani menghantar surat permohonan maaf kepada Pak Ngah bagi menjelaskan perkara sebenar.
    “Secara peribadi, saya tidak menganggap isu ini sesuatu yang besar kerana lagu ini melodi saja sama, tetapi liriknya berbeza. Lagipun saya tidak mahu mengeruhkan keadaan. Saya tidak mahu bergaduh dan mengguriskan hati mana-mana pihak.
    “Bagi saya, isu ini sudah selesai kerana surat daripada Rabbani sudah saya baca dan mereka sudah memohon maaf. Sebenarnya saya sudah lama mengenali Rabbani. Saya sangat menghormati kumpulan ini dan mereka seperti sahabat saya,” katanya.
    Siti berkata, dia menganggap apa yang berlaku mempunyai hikmah selain pengajaran buat dirinya.
    “Dalam hal ini, saya tidak mahu masuk campur. Biarlah mereka yang selesaikan. Apa yang boleh saya katakan, setiap lagu itu perlu mengikut prosedur yang sudah ditetapkan,” katanya.


    Pekin Ibrahim 'Kahwin tahun depan'|Pekin Ibrahim menafikan dakwaan segelintir pengguna Internet di laman sosial yang mendakwa dia hanya mereka-reka cerita bercinta dengan seorang gadis berbangsa Inggeris sejak enam bulan lalu.

    Pelakon dan pengarah itu berkata, dia dan kekasihnya yang juga model dan pelukis berusia 23 tahun itu juga sudah merancang berkahwin tahun depan.
    “Dia sudah memeluk Islam baru-baru ini. Dia memeluk Islam bukan kerana mahu berkahwin dengan saya tetapi atas kerelaannya sendiri,” katanya.
    Menurut Pekin, kekasihnya yang dikenali sebagai Iman itu masih terikat dengan kontrak kerja di London sehingga hujung tahun ini.
    “Saya pula sedang sibuk dengan projek filem baru. Biar semua urusan selesai baru kami berbincang persiapan perkahwinan,”katanya.
    Pekin berkata, ibunya juga sudah bertemu dengan kekasihnya itu dan turut merestui hubungan mereka.
    Akhbar ini minggu lalu melaporkan Pekin mengesahkan dia kini menjalin hubungan cinta dengan wanita berbangsa Inggeris itu.
    Pelakon itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kekasihnya itu kerana masih terikat kontrak dengan beberapa jenama antarabangsa.
    “Maaf saya tidak boleh kongsi lebih lanjut mengenainya. Cukuplah sekadar saya katakan dia adalah kekasih dan wanita yang berjaya membuka pintu hati saya,” katanya.


     Inilah Gambar Che Ta Di Usia 19 Tahun Yang Tak Pernah Anda Lihat|Nama Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta tidak asing lagi dalam industri hiburan tanah air. Walaupun sering mencetuskan kontroversi panas, namun dilihat beliau tidak cepat mudah melatah. 


    Umum ketahui, kejelitaan yang dimiliki oleh Che Ta tidak dapat ditandingi. Meskipun sudah berusia 40-an namun dilihat beliau masih mampu mengekalkan kecantikan, malah dilihat seperti anak dara! Sudahlah cantik, dikurniakan pula anak perempuan secomel Aaisyah Dhia Rana yang sentiasa menjadi perhatian ramai.


    Tapi tahukah anda dan pernahkah anda melihat bagaimana wajah selebriti yang berstatus janda cun ini sebelum bergelar artis? Gambar di bawah ini adalah Che Ta yang menghiasi majalah Remaja semasa berusia 19 tahun. 



    Apa macam? Cantik bukan? Hihii...


    Pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi lega apabila dapat menunaikan janjinya dengan membawa 180 kanak-kanak dan remaja membeli-belah sempena Aidilfitri di sebuah pasar raya, di sini, pagi tadi walaupun baru kematian ibu, semalam.
    Aznil, 54, berkata, jika diikutkan dia memang tidak kuat untuk keluar bekerja hari ini, tetapi mengenangkan nasib kanak-kanak terbabit, program itu tetap diteruskan.
    “Takkan disebabkan masalah saya seorang, tergendala segala perancangan. Lagipun, mereka sudah sedia maklum mengenai aktiviti ini. Tentu saja masing-masing teruja nak berbelanja raya. Jadi kasihan jika saya menangguhkan perkara itu," 
    Aktiviti yang dirancang sejak awal bulan itu membabitkan kanak-kanak dan remaja berusia lima hingga 18 tahun dari Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Kuala Lumpur.
    Mereka diberi peruntukan sebanyak RM250 seorang merangkumi perbelanjaan dan kelengkapan menyambut Aidilfitri.
    Menurut Aznil, dia juga masih meneruskan rakaman program LePaknil pada hari ini selain beberapa program lain.
    "Jadual kerjaya saya tetap berjalan seperti biasa. Saya percaya arwah ibu pun tidak mahu saya dan adik-beradik lain terus bersedih. Kehidupan perlu diteruskan," katanya.
    Ibu Aznil, Norbaiti Surur meninggal dunia pada usia 90 tahun di sebuah hospital swasta di sini, tengah malam kelmarin akibat sakit tua.
    Jenazah dikebumikan di Tanah Pekuburan Islam Keramat, di sini, pada jam 10.45 pagi semalam.


    Pelakon Tony Eusoff Dihukum Penjara|Mahkamah Singapura hari ini menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara ke atas pelakon Malaysia Tony Eusoff kerana memiliki dadah.

    Tony, 38, atau nama sebenarnya Anthony Joseph Anak Hermas Rajiman dihadapkan ke mahkamah pada 31 Mac lalu dan didakwa memiliki dadah terkawal Kelas A di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

    Laporan berita menyebut pelakon itu dipercayai memiliki satu peket mengandungi tidak kurang daripada 4.56 gram bahan sayuran yang telah dianalisis dan didapati mengandungi kesan ganja.

    Dia didakwa memiliki dadah itu di balai ketibaan bas Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 12 Mac lalu.

    Turut hadir di mahkamah memberi sokongan ke atas anak kelahiran Sarawak itu adalah penerbit filem Datuk Vinod Shekar dan rakan-rakan artis termasuk Jehan Miskin.


    Bella Dally Dedah Perangai Sebanar Nazim Othman|Setelah mengikat tali pertunangan pada 14 November lalu, pelakon Bella Dally dan Nazim Othman masing-masing seperti mengelak untuk mengulas lanjut mengenai hubungan mereka.

    Namun bagi Bella Dally, dia mempunyai alasan tersendiri mengapa tidak terlalu bercakap mengenai hubungannya.

    “Pada saya lebih elok begitu. Lagipun kami baru bertunang, jadi tak perlulah nak heboh sangat. 

    “Bagi saya hubungan kami sangat special dan saya tak suka terlalu expose. Sebab itu di dalam Instagram pun hanya gambar tertentu sahaja kami letak dan tidak kerap. 

    “Takut pula orang jemu. Jadi saya lebih suka keep it moderate. Alhamdulilah tempoh bertunang kami dipermudahkan setakat ini,” katanya yang ditemui selepas pelancaran Ariani X Creacion BY Siti Nurhaliza di Royale Chulan semalam.

    Berkongsi mengenai ciri-ciri yang ada pada Nazim yang membuatkan dia senang dan jatuh hati, Bella mendedahkan Nazim seorang yang romantik.

    “Apa yang boleh saya cakap saya sentiasa gembira bersama dia (Nazim). Dia seorang yang jujur dan romatik juga.

    “Tapi paling saya suka tentang sikapnya adalah tegas. Saya suka lelaki yang tegas kerana rasa macam kena lead oleh seseorang,” ceritanya.

    Mengenai perkembangan lain, Bella kini duta tudung Ariani untuk tahun kedua.


    Pelakon Lana Nordin Tersentuh Saat Suaminya Daud Mc Kienzie Iqamat Ke Telinga Bayi Mereka|Pelakon Lana Nordin akui tersentuh saat suaminya Daud Mc Kienzie Iqamat ke telinga bayi mereka dalam video yang dimuat naik dalam akaun Instagram miliknya.

    Menerusi video tersebut kelihatan Lana yang sedang berbaring di atas katil itu mengalirkan air mata  sambil menyaksikan suaminya mendukung cahaya mata mereka diiqamatkan.
    Sayu dengar suara suami Lana yang menyebut kalimah Allah itu ketelinga puterinya bernama Gia Quinn.
    Berikut merupakan luahan Lana dalam kapsyen yang dimuat naik:
    “MM&D️ Permata HatiKu...so touched when my hubby @david_mckienzie iqamat my baby Gia for the first time...Alhamdullilah and TQ Allah”
    Bukan sahaja Lana, malah pengikutnya di Instagram miliknya turut tersentuh apabila menonton video selama 15 saat itu.
    Selain menerima komen-komen peminat yang tersentuh dengan video tersebut, Lana turut dihujani dengan ucapan tahniah.
    Berikut merupakan video suami Lana Iqamat Gia Quinn


    Ini Dia Wajah Bayi Sulung Elly Mazlien|Pelakon dan penyanyi, Elly Mazlein yang telah selamat bersalin semalam mendedah sebahagian wajah dan anggota badan puteri sulungnya di laman social Instagram.

    Bayi perempuan yang dilahirkan seberat 2.5 Kilogram itu kelihatan wajahnya sangat comel dan montel.

    Elly yang sedang menjalani proses berpantang itu dalam kapsyen foto yang dimuat naik itu memberitahu dia bakal kongsi foto penuh anaknya itu dalam masa seminggu lagi.

    Berikut kapsyen tersebut:

    “Alhamdulillah Saya selamat melahirkan #BabyPuteri .. InsyaAllah lg Seminggu sy share gamba #BabyPuteri ya .. #HadiahUtkKawanPress #HadiahUtkPeminat”

    Apa-apa pun tahniah buat Elly Mazlein dan suami. Semoga cahaya mata yang dilahirkan dapat menyerikan lagi rumahtangga mereka.


    MODEL Terkenal Zahnita Wilson Terkejut Dan Kecewa Apabila Mengetahui Anak Ada Dua Pasport|MODEL terkenal Zahnita Wilson terkejut dan kecewa apabila mengetahui Jabatan Imigresen Malaysia mengeluarkan pasport antarabangsa baharu untuk anaknya Zahrafeena Abd Zackery dan Zasharayna sedangkan pasport asal anak perempuannya itu masih dalam tempoh sah dan dalam jagaannya.

    Zahnita, 30, mendakwa pasport antarabangsa baharu untuk kedua-dua anaknya berusia sembilan dan tiga tahun itu dikeluarkan tanpa sebarang siasatan yang sempurna dan tanpa dokumen sokongan atau pasport asal yang sepatutnya menjadi pra-syarat untuk permohonan baharu atau permohonan pembaharuan.

    “Saya mengetahui perkara tersebut apabila suami, Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor membawa anak pergi bercuti ke Phuket, Thailand selama lapan hari bermula 2 Disember lalu,” katanya.

    Zahnita dan Abd Zackery Ghouse kini dalam proses perceraian.
    Zahnita Dorothy Hussein Wilson atau lebih dikenali Zahnita Wilson berkata, dia tidak mahu menuduh atau menyalahkan sesiapa berhubung insiden tersebut.

    “Saya ada bertanya kepada suami bagaimana dia mendapatkan pasport baharu tersebut dari Jabatan Imigresen, tetapi saya tidak berhasrat mendedahkannya.

    “Saya mahu pihak bertanggungjawab memastikan garis panduan dan peraturan permohonan pasport dipatuhi agar kejadian sebegini tidak berulang,” katanya.  

    Zahnita juga membuat beberapa laporan polis sejak 8 November 2015 sehingga 4 Januari lalu dan aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

    Sementara itu, Aktivis PPIM, Dr Mazlina Abu Bakar berkata, pihaknya meminta Jabatan Imigresen menyiasat.

    “Kita menggesa pihak berwajib beri penjelasan dan mengambil tindakan tegas serta memperketat prosedur,” katanya.

    Mazlina berkata, masalah besar boleh timbul apabila garis paduan permohonan pasport baru tidak dipatuhi.


    Hanis Zalikha Sudah Mula Persiapan Sambut Kelahiran Sulung|Peka dengan keadaan isterinya yang kini sudah empat bulan mengandung, pelakon Hairul Azreen kini sudah mula belajar memasak jelas Hanis Zalikha mengenai perubahan suaminya itu.

    “Hairul insan paling bahagia dan teruja bila tahu tentang berita ini, dia sudah menunjukkan ciri-ciri seorang bapa. Saya lihat dia sekarang belajar pelbagaikan menu dalam masakannya sebab mahu jaga pemakanan saya dan anak dalam kandungan”
    “Dia juga sudah mula membayangkan sekolah mana anak ini bakal belajar dan mereka bermain badminton bersama-sama,”Tambah Hanis buat ketika ini mereka juga sudah menyediakan satu bilik khas untuk bakal cahaya mata pertama mereka nanti.
    Hanis dijangka bakal bersalin pada tarikh ulang tahun perkahwinan mereka sekitar Jun tahun depan. Semoga segala persiapan pasangan ini dipermudahkan dan pastinya peminat mereka tidak sabar menantikan cahaya mata mereka nanti.


    Syarif Sleeq Dapat Cahaya Mata Pertama|Tahniah kami ucapkan kepada Syarif (bekas anggota kumpulan Sleeq) dan juga isteri, kerana telah selamat menyambut kelahiran cahaya mata pertama (bayi perempuan) pada 31 Disember lalu. Perkara tersebut dikongsikan Syarif di laman Instagram.


    Bersyukur dengan kurniaan cahaya mata sulung tersebut, Syarif juga turut menulis mengenai betapa dia menghargai pengorbanan isterinya demi melahirkan anak pertama mereka.
    Apa pun, semoga keluarga ini akan terus kekal bahagia dan sentiasa dilimpahi rezeki malah pastinya kehadiran cahaya mata baru ini akan lebih memberi sinar kepada Syarif sekeluarga.


    Sheila,Ammar bertunang setahun|Bukan mahu menyorokkan hubungan cinta yang terjalin di antara mereka tetapi segalanya dilakukan kerana mahu jaga kerjaya seni mereka.

    Itulah alasan diberikan komposer muda, Ammar Habir, 26, apabila berita pertunangannya dengan penyanyi Sheila Abdull, 27, pada 20 Disember lalu mengejutkan ramai pihak.

    Ammar akui mereka hampir setahun bercinta dan mengikut perancangan awal, mereka tidak mahu memikirkan soal kahwin. Keputusan itu dibuat kerana tidak mahu mengganggu tumpuan kerja.

    Apatah lagi pada waktu itu juga Sheila sibuk mempromosikan lagu terbarunya, Kata Hati yang dihasilkan Ammar dan lirik ditulis Habsah Hassan.

    Ammar yang juga pemain gitar utama kumpulan Drama Band menjelaskan, mengikut perancangan awal dia dan Sheila mahu menemukan keluarga kedua-dua belah pihak sambil berkenal-kenalan.

    “Selepas hampir setahun bercinta, saya berasakan sudah tiba masanya kami membawa hubungan terjalin ke peringkat seterusnya. Ia juga menjadi tanda bahawa saya benar-benar serius dengan hubungan kami.

    “Bagaimanapun lain pula jadinya apabila perancangan untuk menemukan keluarga kedua belah pihak bertukar menjadi majlis pertunangan.

    “Keluarga mahu kami bertunang dan kami akur dengan cadangan itu hingga majlis pertunangan dilangsungkan pada 20 Disember lalu,” katanya.

    Kata Ammar, semuanya perancangan keluarga kedua pihak. Keluarganya tinggal di Kedah manakala ayah Sheila bekerja di pelantar minyak. Dua minggu di laut dan dua minggu di darat.

    “Ketika itu kebetulan cuti sekolah. Memikirkan situasi itu, ahli keluarga kedua-dua belah pihak berasakan lebih baik pertemuan dua keluarga itu dijadikan majlis bertunang sekali.
    “Pada saya, majlis yang dilangsungkan itu kena pada situasi dan waktunya. Jadi, tiada masalah,” katanya.

    Mengikut perbincangan kedua-dua pihak sewaktu majlis berlangsung, mereka berkemungkinan bertunang selama setahun dan bakal bernikah pada Disember 2016.

    “Mengikut perjanjian pertunangan itu, kami diikat hidup (tarikh tidak ditetapkan). Ikut perancangan, pernikahan dijadualkan akhir Disember atau lebih awal. Semuanya bergantung jika ayah Sheila dijadualkan menunaikan ibadat haji pada tahun hadapan,” katanya.

    Jelas Ammar, dia kali pertama bertemu Sheila tiga tahun lalu apabila menjadi pemuzik undangan untuk mengiringi persembahan Sheila.

    Selepas itu Ammar sering bertemu Sheila di studio Luncai Emas atas urusan kerja. Lama-
    kelamaan hubungan sebagai kawan menjadi cinta dan mereka mula serius setahun lalu.

    Sheila pernah muncul dengan album Sheila Abdull pada 2008 bersama EMI (M) Sdn Bhd dan popular melalui single Mungkinkah.

    Selepas itu Sheila terus senyap tanpa sebarang berita apabila syarikat rakaman EMI ditutup. 

    Dia terumbang-ambing dan usahanya muncul dengan single kedua, Lepaskanlah juga tidak begitu menjadi.

    Demi cintanya pada dunia nyanyian, Sheila kembali dengan single terbaru, Kata Hati. Dia berharap lagu ciptaan Ammar dan lirik Habsah Hassan itu dapat menaikkan semula namanya.


    Kumpul wang untuk kahwin

    Ammar yang bakal menghasilkan single terbaru penyanyi muda, Sarah Fazny dan Sandra, akui sebelum ini mengatakan susah untuk bertunang atau bernikah kerana wang belum mencukupi.

    Katanya, dia selalu memikirkan soal kewangan kerana sedar soal duit memang sulit. Bagaimanapun kini dia percaya pada rezeki.

    “Pada saya, apa yang kami lakukan ini perkara baik. Saya sudah menghitung, mana tahu Allah nak beri rezeki Drama Band muncul juara di Anugerah Juara Lagu ke-30 (AJL30) nanti.

    “Ataupun mungkin kutipan pendapatan lagu yang saya hasilkan daripada Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) tinggi, jadi duit yang dapat itu nanti boleh saya gunakan untuk dibuat belanja kahwin,” katanya.

    Kata Ammar, sejak lagu didendangkan Drama Band, Biarkanlah popular, mereka mendapat banyak tawaran mengadakan persembahan.
    Menilai daripada sudut itu, dia tidak risau mengenai soal wang belanja kahwin dan pendapatan diperoleh sudah mula diketepikan sedikit demi sedikit.

    Kata Ammar, memang sebelum ini dia dan Sheila memikirkan faktor kerja dengan single Kata Hati baru dilancarkan membuatkan mereka berasakan payah untuk membuat keputusan bertunang dan bernikah.

    “Begitupun, apabila kami mengatur untuk mengadakan pertemuan antara keluarga, keadaan berubah. Sepanjang bercinta, tak ada perkara yang boleh kami pegang untuk mengatakan hubungan ini akan ada pada masa depan.

    “Berbeza apabila kami mengatur pertemuan keluarga, semuanya seakan bersetuju. 

    Maksudnya kami sudah mendapat restu dan pada saya mahupun Sheila, perkara itu memberi bayangan bahawa 50 peratus hubungan kami sudah berada di tahap lebih baik.

    “Pada tahap ini, kami sedar bukan setakat mahu seronok-seronok bercinta atau pun cinta monyet, malah kami mahu bina masa depan yang bahagia,” katanya

PALING HOT

Subscribe Now!

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner


Top