Datuk Siti Nurhaliza:Isu lagu sama selesai


Datuk Siti Nurhaliza:Isu lagu sama selesai|“Saya terkejut apabila mendapat tahu lagu kami sama. Bagaimanapun, Rabbani sudah menghantar surat memohon maaf dan menjelaskan perkara sebenar.”
Itu reaksi penyanyi Datuk Siti Nurhaliza berhubung isu lagu raya nyanyiannya Hari Kemenangan dikatakan diciplak daripada lagu kumpulan nasyid Rabbani berjudul Kemenangan, baru-baru ini.
Siti ketika ditemui berkata, tidak timbul soal siapa ciplak siapa kerana ia hanyalah salah faham di antara pencipta lagu terbabit iaitu Pak Ngah dengan Rabbani.
“Beberapa hari sebelum Aidilfitri lalu, ada peminat beri komen di YouTube mengatakan lagu baru saya sama dengan Rabbani selepas dia menonton video persembahan kumpulan itu.
“Ketika diberitahu saya akui terkejut kerana tidak tahu lagu ciptaan Pak Ngah ini turut dinyanyikan Rabbani. Jadi, saya terus cari penjelasan dan rupa-rupanya ia hanyalah salah faham,” katanya.
Siti berkata, Pak Ngah yang mencipta lagu itu untuk single raya terbaru Siti langsung tidak tahu Rabbani turut merakam lagu itu yang sebelum ini pernah diberikan kepada mereka beberapa tahun lalu.
“Sebelum ini Pak Ngah ada beri empat hingga lima lagu kepada Rabbani tetapi mereka tidak memberi maklum balas menyebabkan Pak Ngah menganggap mereka tidak berminat merakamkan lagu itu.
“Tanpa disangka, Rabbani merakam lagu itu tetapi tidak dikomersialkan menyebabkan berlaku kekeliruan kerana hak cipta masih milik Pak Ngah,” katanya.
Berikutan perkara itu, Rabbani menghantar surat permohonan maaf kepada Pak Ngah bagi menjelaskan perkara sebenar.
“Secara peribadi, saya tidak menganggap isu ini sesuatu yang besar kerana lagu ini melodi saja sama, tetapi liriknya berbeza. Lagipun saya tidak mahu mengeruhkan keadaan. Saya tidak mahu bergaduh dan mengguriskan hati mana-mana pihak.
“Bagi saya, isu ini sudah selesai kerana surat daripada Rabbani sudah saya baca dan mereka sudah memohon maaf. Sebenarnya saya sudah lama mengenali Rabbani. Saya sangat menghormati kumpulan ini dan mereka seperti sahabat saya,” katanya.
Siti berkata, dia menganggap apa yang berlaku mempunyai hikmah selain pengajaran buat dirinya.
“Dalam hal ini, saya tidak mahu masuk campur. Biarlah mereka yang selesaikan. Apa yang boleh saya katakan, setiap lagu itu perlu mengikut prosedur yang sudah ditetapkan,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments:

Write a Comment

PERINGATAN: Pihak F&S NETWORK tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian dari pihak kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

PALING HOT

Subscribe Now!

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner


Top