Ratu Rock Ella Terus Aktif Di Persada Seni


Selepas melangsungkan perkahwinannya tahun lepas, Ella dilihat kian menghilang dari pandangan umum.
Barangkali mengambil masa untuk menyesuaikan diri di alam perkahwinan, peminat ternyata merindui untuk melihat persembahannya serta mendengarkan lagu baru yang dihasilkan beliau.
Hal ini didedahkan Ella sendiri dalam temubual bersama KKBOX baru-baru ini.
“Jujurnya Ella seringkali mendapat pelbagai pertanyaan daripada peminat, khususnya bila hendak menyanyi lagi, dan lagu apa pula yang akan saya bawakan selepas ini,” terang Ella.
“Jadi Ella berharap sangat lagu bersama Anji ini mendapat sambutan yang sepatutnya. Ella berharap semua peminat yang selama ini tertunggu-tunggu dan sering bertanyakan tentang lagu Ella akan tampil memberikan sokongan. Inilah masanya untuk mereka mendengar dan memberikan sokongan pada Ella, dan Ella berharap sangat mereka meminati lagu ini,” sambungnya lagi.
Setiap album yang dihasilkan Ella pasti ada kelainan yang dibawakan. Bahkan, ketika menyampaikan lagu yang berentak perlahan pun, Ella pasti memberi sentuhan uniknya sendiri untuk menjadikan sesuatu lagu itu sinonim dengan identiti dirinya selaku ratu rock Malaysia.
Justeru, peminat beliau pastinya menarik nafas lega apabila mengetahui Ella bakal muncul dengan bahan baru. Apa yang menarik, bukan satu, tetapi dua buah lagu bakal disampaikan penyanyi itu.
Lebih menarik lagi, Ella tidak akan beraksi seorang diri dalam projek terbaru ini. Dua single duet terbaru berjudul Pilu dan Risalah Hati itu akan dijayakan bersama penyanyi lelaki yang tidak asing lagi di Indonesia, Anji.
Anji suatu ketika dahulu pernah popular bersama kumpulan Drive dan lagu hit mereka, Bersama Bintang. Namun, kumpulan itu berpecah sekitar tahun 2011, dan Anji kini aktif bergerak secara solo.
Kedua lagu itu bakal menggandingkan antara artis yang boleh dikatakan sebagai ‘the best of rock’ dari kedua Malaysia serta Indonesia. Anji punyai barisan peminat setianya yang tersendiri dan turut dikenali di Malaysia. Begitu juga Ella di kalangan peminat Indonesia, serta mula diminati penggemar rock serata sejak tahun 80-an lagi..
Pilu dan Risalah Hati dicipta Adi Priyo daripada kumpulan Sixth Sense sementara melodinya telah digubah oleh Alfa Booty. Proses rakaman pula diadakan di kedua buah negara. Lebih menarik, Ella dan Anji adakalanya merakamkan sesi berasingan, dan adakalanya bersama-sama merekodkan rakaman studio.
“Semalam kami melakukan satu sesi rakaman bersama-sama, di mana kami gunakan konsep ‘jamming,’ supaya kami masing-masing dapat menikmati rentak lagu-lagu itu,” terang Ella kepada kami.
Sambungnya lagi, “tetapi malam ini, kami akan gunakan pendekatan berbeza, iaitu membuat rakaman berasingan pula. Ini kerana, bila kami masuk ke studio secara individu, mungkin kami dapat memberikan hasil yang berbeza dengan gaya kami masing-masing.”
Kedua lagu yang bakal dikeluarkan ini menceritakan tentang perasaan insan yang sedang dilamun cinta, namun mempunyai tema yang agak berlainan. Pilu berkisarkan seorang yang hanyut dalam perasaan rindunya kepada seseorang, manakala Risalah pula menceritakan kisah dua insan bercinta yang pernah melukai antara satu sama lain.
Ella sendiri merakamkan rasa teruja dapat bergabung dengan Anji untuk projek bersama yang dinanti-nantikan ini.
“Ella rasa sangat bertuah kerana dapat menyanyi bersama artis hebat seperti Anji. Sebelum ini pun Ella sudah banyak kali mendengarkan lagu-lagu Anji, dan jujurnya Ella sebenarnya terkejut dengan kualiti nyanyiannya yang sangat bagus. Jadi, Ella benar-benar rasa bertuah,” kata Ella.
“Ella rasa lagu Pilu dan Risalah Hati ini kedua-duanya sangat fresh, jadi memang sesuai dijadikan permulaan untuk kembalinya Ella menghasilkan album,” tambahnya bersemangat.
Setelah hampir tujuh tahun tidak tampil dengan album baru, pastinya peminat menunggu dengan penuh tidak sabar akan bahan baru daripada Ella. Namun, harapan itu seolah putus selepas Ella mendirikan rumah tangga bersama insan tercinta pada tahun lalu. Ella seakan menghilangkan diri daripada sunia seni buat seketika.
“Sebenarnya masa selepas kahwin itu Ella banyak gunakan untuk belajar,” terang Ella.
“Ella belajar bahagikan masa, belajar masak, semuanya Ella pelajari dalam masa itu. Ella ambil sedikit masa untuk diri sendiri supaya Ella dapat kutip ilmu,” sambungnya jujur.
“Apabila sudah berkeluarga, memang tidak mudah hendak membahagikan masa antara keluarga dan juga karier, tetapi kita harus belajar melakukannya. Kalau boleh, Ella mahukan keluarga dan karier Ella berjalan seiring, jangan salah satu ditinggalkan kerana sesuatu yang lain,” katanya lagi mengulas perbezaan dalam kehidupan berumah tangga.
Ella mengakui tidak pernah terlintas untuk meninggalkan dunia nyanyian meskipun sudah berkeluarga. Dirinya yang beliau anggap sebagai masih aktif dalam nyanyian, hanya menunggu masa yang sesuai untuk tampil dengan album baru.
“Ella tidak suka terburu-buru, jadi segalanya yang dibuat harus mengikut perancangan yang betul. Ella masih sedang mencari lagu-lagu yang sesuai untuk album Ella nanti, jadi apabila semuanya sudah teratur, barulah Ella akan keluarkan album,” jelasnya pada pihak media.
Sebagai latar belakang, duet Ella dan Anji ini merupakan projek pertama Ella bersama Universal Music Malaysia, sejak syarikat itu mengambil alih seluruh katalog EMI Music bermula tahun lepas.
Universal Music sememangnya sedang merangka perancangan album terbaru bagi Ella, dan duet bersama Anji ini hanya merupakan langkah awal ke arah usaha itu. Peminat pun pasti memahami bahawa artis unggul seperti Ella memerlukan perancangan teliti sebelum dapat muncul dengan sebarang material baru. Mana tidaknya, jutaan peminat yang ternanti-nanti pasti mahu mendengarkan bahan berkualiti dihasilkan artis kegemaran mereka sendiri.
Selepas tujuh tahun tidak muncul dengan album baru, tiada masa yang lebih baik daripada masa kini untuk Ella kembali ke persada seni Malaysia membawakan karisma uniknya dalam muzik. Sama-sama kita nantikannya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments:

Write a Comment

PERINGATAN: Pihak F&S NETWORK tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian dari pihak kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

PALING HOT

Subscribe Now!

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner


Top